KUALA LUMPUR – Sebanyak 9 institusi pendidikan Mara (Ipma) dari seluruh negara bersaing bagi merebut kejuaraan Pertandingan Perniagaan Online (PPOL) antara IPMa 2012 anjuran Pusat Keusahawanan Siswa Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bermula 28 Januari lalu.
Kemuncak pertandingan apabila keputusan dan majlis penyampaian hadiah pertandingan kepada para pemenang berlangsung pada hari Sabtu 24 Mac 2012 pukul 11 pagi di Menara Majlis Amanah Rakyat (Mara) di ibu negara. Pemenang pertandingan dipilih berdasarkan dua kategori iaitu Untung Tertinggi dan Jualan Tertinggi dan Johan akan menerima hadiah wang tunai RM5,000, Naib Johan (RM3,000), Ketiga (RM1,500) dan saguhati bagi tempat keempat hingga sepuluh (RM400).
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ybhg Tn Hj Yahya Bin Ibrahim, Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan MARA. Juara bagi jualan tertinggi telah dimenangi oleh Kumpulan Bumi Selatan dari UniKL MITEC. Tempat kedua disandang oleh Garisan Online dari KPTM Cheras dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Puready juga dari KPTM Cheras.
Juara bagi kategori Untung tertinggi pula dimenangi oleh kumpulan Garisan Online dari KPTM Cheras, tempat kedua diperolehi oleh kumpulan Puready dari KPTM Cheras dan tempat ketiga oleh kumpulan Younameit juga dari KPTM Cheras. Pemenang hadiah tempat pertama bagi kedua kategori membawa pulang wang tunai sebanyak RM5000, tempat kedua RM3000 dan tempat ketiga RM1500. 7 pememang saguhati diberikan bagi kedua-dua kategori dengan hadiah wang tunai sebanyak RM400.
PPOL kali ini turut memberi pendedahan kepada mahasiswa IPMa memahami kaedah yang betul dan berkesan dalam membina empayar perniagaan melalui satu medium baru yang lebih sinonim dengan golongan siswa untuk menceburkan diri dalam perniagaan.
IPMa yang mengambil bahagian dalam PPOL kali ini termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Kolej Profesional Mara (KPM), Institut Kemahiran Mara dan Kolej Mara.
Tahniah kepada para pemenang dan terima kasih diucapkan bagi semua pihak yang terlibat dalam menjayakan PPOL 2012 pada kali ini, semoga kita bertemu lagi di PPOL akan datang.